Trem Ke Pintu Syurga









Antologi Cerpen Trem Ke Pintu Syurga
Harga: RM 20 (termasuk kos penghantaran)


          Menghimpunkan 17 buah cerpen daripada 17 orang penulis Malaysia di luar negara, antologi cerpen terbaru terbitan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) diberi nama Trem ke Pintu Syurga. Antologi ini merupakan yang ketiga pernah diterbitkan GKLN setelah penerbitan Jalan Jauh ke Ramallah (2007) dan Mengemis di Kota Larangan (2008). Tajuk antologi ini dipetik daripada salah sebuah cerpen yang terkandung di dalamnya yang ditulis oleh Hafizsi Omar.

          Tram ke Pintu Syurga mengangkat tema latar luar negara dengan rencaman persoalan yang dijulang sebagai tunjang setiap cerpen. Antaranya adalah isu kemanusiaan, intifada Palestin, keagamaan, sanggahan sosial dan politik, sejarah dan sebagainya . Antologi ini membawa khalayak pembaca mengembara dengan pelbagai latar luar negara yang menarik seperti Selat Gibraltar, Philadelphia dan Dublin. Meskipun ada latar yang sama diangkat oleh beberapa penulis berbeza namun sudut pandang yang berlainan ditampilkan pengarang menjadikan latar tersebut tetap enak untuk dihadam pembaca.

          Estetik bahasa yang begitu rapi dijalinkan dengan perkembangan plot menjadikan cerpen-cerpen yang dimuatkan cukup mesra pembaca. Kombinasi ini menawarkan pembaca suatu pengalaman membaca yang tidak dapat dilupakan di samping menikmati keberkesanan penyampaian oleh para penulis.

          Tuntasnya, Tram ke Pintu Syurga menjadi wadah kesatuan penulis-penulis luar negara mengangkat kekuatan latar pilihan masing-masing untuk tatapan pembaca di samping yang lebih utama, menghantar mesej dakwah Islamiyyah dengan lebih berkesan jauh ke pojok hati pembaca. Antologi ini juga mendedahkan kemampuan para penulis luar negara yang tidak terlibat dengan subjek kesusasteraan Melayu secara langsung namun mampu menggunakan bakat kurniaan Ilahi dalam menyampaikan pendirian kepada khalayak umum.